Ketua pasukan Manchester United, Antonio Valencia, mengesahkan akan menginggalkan Old Trafford melalui satu pengumuman di Instagramnya.

Pemain Ecuador itu menghampiri tempoh sedekad sebagai pemain United dengan meraih enam gelaran utama di kelab berkenaan, termasuk dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Walaupun sudah pulih daripada kecederaan lutut, Valencia hanya diturunkan sekali untuk memperkuatkan The Red Devils musim ini dan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, bulan ini mencadangkan pemain sayap bertahan itu tidak akan ditawarkan kontrak baru.

Valencia, yang sebelum ini kekal tenang mengenai masa depannya di United, muncul untuk mengesahkan bahawa dia akan angkat kaki pada akhir musim ini dengan memuat naik gambar Sir Alex Ferguson Stand di laman sosialnya sambil disertai kapsyen "Terima Kasih".

Jose Mourinho menamakan Valencia sebagai ketua pasukan menjelang musim 2018-19 tetapi dia dikritik oleh pengendali Portugis itu ekoran kurang cergas ketika lawatan pra-musim di Amerika Syarikat (AS) dan hanya diketengahkan sebanyak lapan kali sejak dilanda kecederaan.

Valencia, yang disambar dengan nilai kontrak £16 juta (RM85.9j) dari Wigan Athletic pada Jun 2009, telah melakukan 338 penampilan bersama United dan mengumpulkan 25 gol.