EVERTON 3 SOUTHAMPTON 0

Ronald Koeman memberikan pujian kepada pemain gantian, Enner Valencia, selepas membantu Everton menewaskan Southampton 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.


Pemain pinjaman dari kelab West Ham, Valencia, meledak gol pembukaan pada minit ke-73 di Goodison Park, sebelum Leighton Baines dan Romelu Lukaku menambah jaringan untuk meraih tiga mata penuh.

Koeman mengkritik persembahan pemain-pemainnya pada babak pertama perlawanan, namun beliau berpuas hati dengan impak yang dipamerkan oleh Valencia.

"Ia merupakan keputusan yang baik. Kami memastikan gawang gol tidak dibolosi, kami memerlukan lebih banyak intensiti dalam permainan. Kami bermain dengan lebih baik dalam separuh masa kedua," ujar Koeman.

"Apabila Valencia diturunkan, kami bukan hanya melihat kepada jaringannya sahaja tetapi persembahan keseluruhan pemain itu -- kami memerlukan pemain sepertinya dalam separuh masa kedua."

Dalam pada itu, pengendali The Saints, Claude Puel, percaya jadual padat merupakan punca mereka gagal mempamerkan aksi yang berkualiti.

"Ia merupakan perlawanan yang seimbang tetapi gol pertama Everton ternyata menggugat persembahan kami," jelas Puel.

"Pemain-pemain saya kepenatan. Mereka bermain dua hari yang lalu dan sukar untuk menamatkan perlawanan ini tetapi saya memuji semangat yang dipamerkan mereka."