Jose Mourinho telah memberikan amaran kepada pemain pertahanan, Luke Shaw, agar berusaha keras untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Manchester United musim ini.

Pemain berusia 22 tahun itu beraksi buat pertama kali musim ini ketika masuk dalam babak kedua ketika menentang Burton Albion, Rabu lalu, selepas disisihkan akibat kecederaan.

United berjaya menewaskan Burton 4-1 tetapi aksi Shaw mengundang kritikan bekas pertahanan The Red Devils, Phil Neville, yang menyifatkannya sebagai "pembaziran" di sepanjang perlawanan.

Bagi Mourinho yang merupakan pengurus United, agak tidak adil untuk meminta Shaw terus beraksi di tahap terbaik, namun mencabar pertahanan England itu untuk berjuang memastikan posisi pertahanan kiri menjadi miliknya.

"Dia harus berusaha keras. Itu sahaja.

"Anda bertanya sama ada dia akan beraksi menentang Southampton? Tidak. Dia perlu berusaha lagi. Perlu tingkatkan prestasi.

"Shaw tidak beraksi selama enam bulan. Saya tidak menjangkakannya untuk masuk ke padang pada Rabu lalu dan menjadi pemain terbaik perlawanan. Ia adalah satu proses kerana sudah lama dia tidak bermain," kata Mourinho.