Pemain pertahanan Perancis, Benjamin Mendy, memberikan reaksi ringkas terhadap tweet daripada Donald Trump dengan mengingatkan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mengenai kejayaan Perancis dalam Piala Dunia di Russia, Julai lalu.

Trump mengkritik Emmanuel Macron di laman sosial Twitter selepas rakan sejawatannya dari Perancis itu menegur ucapan pemimpin AS berkenaan berhubung isu nasionalisme.

Sehubungan itu, pertahanan Manchester City dan Perancis, Mendy terpanggil untuk meluahkan pendapatnya di media sosial, semalam.

Pemain berusia 24 tahun itu yang merupakan sebahagian daripada skuad pemenang Piala Dunia 2018, menjawab kritikan Trump dengan menulis: "Usah khuatir saudara" sambil disertakan dua bintang yang merupakan simbolik dua kejuaraan Piala Dunia yang kini dalam koleksi mereka.

Di celah kritikannya terhadap Presiden Perancis itu, Trump menulis: "Jadikan Perancis kembali hebat!"

Perancis meraih kejuaraan Piala Dunia kedua dan pertama sejak 1998 menerusi kemenangan 4-2 ke atas Croatia dalam perlawanan akhir pada Julai lalu.