NEWCASTLE UNITED 1 MANCHESTER UNITED 0

Hasrat Manchester United untuk mengejar kedudukan pendahulu liga kini semakin lebur apabila tewas 1-0 di tangan Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St James Park, awal pagi tadi.


Beraksi di tempat lawan, United hampir dikejutkan seawal minit kelima apabila rembatan Jonjo Shelvey memberikan ancaman kepada gawang pelawat, mujur David De Gea sempat menepis bola keluar.

Penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka, turut bertindak cemerlang apabila menafikan dua peluang keemasan yang dimiliki skuad kendalian Jose Mourinho itu.

Gerakan Alexis Sanchez dan Romelu Lukaku pada minit ke-33 mengatasi pertahanan tuan rumah, memaksa Dubravka pantas menghalang sebelum penjaga gol Slovakia itu menafikan percubaan satu lawan satu dengan pemain sayap United, Anthony Martial.

Skuad The Red Devils akhirnya membuka tirai jaringan sebaik sahaja babak kedua bersambung selama lapan minit menerusi tandukan Lukaku, namun ia dibatalkan pengadil perlawanan, Craig Pawson, selepas penyerang Belgium itu didakwa melakukan kekasaran.

Sebaliknya, The Magpies yang berada di depan pada minit ke-65 hasil jaringan pemain tengah, Matt Ritchie.

Sepakan percuma Shelvey ditanduk Ayoze Perez untuk membuka ruang buat Ritchie, membolehkan pemain berusia 28 tahun dari Scotland itu melepaskan rembatan kaki kiri dari jarak dekat menewaskan De Gea.

Dubravaka terus bertindak cemerlang apabila menafikan peluang keemasan pelawat untuk meraih jaringan penyamaan menerusi Michael Carrick sewaktu permainan memasuki waktu kecederaan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

United kini ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu, Manchester City.