SAINT-ETIENNE 0 MAN UNITED 1
(United mara dengan agregat 4-0)

Chris Smalling berkata Manchester United menuju ke perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) dengan keyakinan tinggi di sebalik kecederaan yang menimpa Henrikh Mkhitaryan dalam kemenangan 1-0 ke atas Saint-Etienne dalam aksi Liga Europa, awal pagi tadi.


Mkhitaryan menjaringkan gol tunggal perlawanan di Stade Geoffroy-Guichard sebelum dikeluarkan -- berkemungkinan kerana masalah hamstring -- tetapi Smalling menegaskan moral kem United berada di tahap tinggi menjelang pertembungan EFL dengan Southampton di Wembley, awal pagi Isnin nanti.

Penyokong Saint-Etienne memenuhi ruang stadium dalam pertemuan kedua pusingan 32 itu, di mana United menang secara agregat 4-0.

Begitupun, Smalling berkata sokongan padu yang diterima pihak lawan itu tidak mampu menyekat anak buah Jose Mourinho untuk mencipta kemenangan kelima mereka berturut-turut.

Pemain pertahanan England itu berkata kepada BT Sport: "Untuk bersikap adil, penyokong-penyokong tuan rumah cuba mengganggu kami. Kami melaksanakan tugas dengan baik dari mula hingga tamat perlawanan.

"Pasukan ini berada di tahap keyakinan tinggi. Jika kami meneruskan rentak seperti ini, siapa tahu apa yang akan berlaku."

Gandingannya di bahagian pertahanan tengah, Eric Bailly, dibuang padang ekoran layangan kad kuning kedua dalam babak kedua, dan pemain tengah United, Juan Mata, menjelaskan pemain Ivory Coast itu pasti kecewa bakal terlepas aksi pusingan berikutnya.

Namun, dia menegaskan insiden tersebut tidak menjejaskan aksi Red Devils dengan berkata: "Saya tidak tahu. Pengadil berada di jarak yang lebih dekat.

"Eric pasti kecewa tapi apa yang lebih mustahak adalah kami layak. Kami sedar ia akan menjadi suasana yang sukar dan penyokong-penyokong mereka sangat hebat.

"Kami gembira untuk mara dan akan menghadapi perlawanan akhir EFL dengan lebih yakin. Inilah cara terbaik untuk persiapan menghadapi final."