MIDDLESBROUGH 1 MANCHESTER UNITED 3

Jose Mourinho memuji sikap yang dipamerkan oleh pemain-pemain Manchester United kerana memastikan mereka memiliki dua pilihan untuk melayakkan diri beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) selepas menewaskan Middlesbrough 3-1, malam tadi.


Mourinho sebelum ini menyatakan bahawa keputusan seri sudah memadai buat pasukannya, selepas mengharungi jadual padat yang memaksa mereka turun tanpa kelibat beberapa tonggak utama pasukan yang mengalami kecederaan dan penggantungan.

Keyakinan yang diletakkan oleh pengurus kelahiran Portugal itu membuahkan hasil, dengan Marouane Fellaini membuka jaringan dalam separuh masa pertama sebelum Jesse Lingard melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-62.

Pemain gantian Boro, Rudy Gestede, berjaya meledak gol tunggal buat pasukan tuan rumah sebelum Antonio Valencia menjaringkan gol ketiga United hasil kesilapan Victor Valdes.

The Red Devils kini hanya ketinggalan empat mata kepada Liverpool yang menduduki tangga keempat liga dan mara ke pusingan suku akhir Liga Europa (UEL).

Mourinho gembira dengan persembahan anak buahnya dalam usaha untuk kembali ke kancah UCL.

"Saya sangat gembira," kata Mourinho. "Sikap yang dipamerkan sangat menakjubkan. Saya membuat mereka sebagai sangat penting, mempercayai kebolehan mereka.

"Setiap perancangan untuk perlawanan ini dilaksanakan dengan baik sehingga kami meledak gol kedua.

"Boro mempertingkatkan tempo permainan selepas mereka ketinggalan dua gol. Gestede dan Alvaro Negredo memberi ancaman kepada kami.

"Saya dapat melihat kesungguhan pemain-pemain saya. Saya tidak mengharapkan Marcus Rashford untuk menjadi seperti Zlatan Ibrahimovic, Michael Carrick mempamerkan aksi seperti Paul Pogba, atau Ashley Young bermain seperti Daley Blind. Tetapi mereka memiliki kualiti mereka tersendiri.

"Kami memiliki dua pilihan untuk kembali beraksi dalam UCL, jadi kami akan cuba untuk memenangi UEL dan menamatkan saingan di dalam kelompok empat terbaik liga."

Mourinho mengakui beliau mahu merehatkan pemain-pemainnya ketika perlawanan antarabangsa sedang berlangsung tetapi komitmen mereka kepada pasukan kebangsaan tidak boleh dielak.

"Setiap pemain yang bersama skuad kebangsaan mereka memiliki dua perlawanan, kemudian akan kembali berdepan West Brom pada Sabtu dan saingan UEL berdepan Anderlecht."