Bekas kapten Manchester United, Gary Neville, berkata pengurus, Jose Mourinho, adalah pilihan yang tepat untuk mengembalikan zaman kegemilangan United walaupun mengalami kekalahan 4-0 kepada Chelsea.

Segala perhatian terletak kepada Mourinho ketika kembali ke Stamford Bridge tetapi bekas pengendali Chelsea itu hanya mendapat keaiban apabila tewas 4-0 kepada Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Mourinho, yang berazam untuk membuktikan sesuatu kepada bekas majikannya selepas dipecat pada Disember tahun lalu, dikejutkan apabila Pedro Rodriguez membuka jaringan seawal 30 saat.

United, yang gagal bertahan dengan baik, menyaksikan Chelsea menggandakan jaringan menerusi Gary Cahill pada minit ke-21 sebelum Eden Hazard dan N'Golo Kante menyempurnakan kemenangan mereka.

Ini merupakan kekalahan ketiga United musim ini dan menduduki tangga ketujuh, bagaimanapun Neville menggesa supaya bertenang kerana pakar taktikal kelahiran Portugal itu masih dalam proses membina semula pasukan.

"Semestinya Mourinho tertekan dengan keputusan ini dan mahu pemainnya bangkit ketika bertemu Manchester City pada Rabu," jelas Neville kepada Sky Sports.

"Apabila anda merupakan penyokong Manchester United selama 30 tahun, 50 tahun, anda harus melalui perkara sebegini dan perlu menerimanya dengan terbuka.

"Mereka memiliki seorang pengurus yang berpengalaman dan telah membuktikan dalam setiap liga serta bersaing di Eropah, kita harus memberikan peluang untuk beliau menjalankan tugas untuk dua hingga tiga tahun akan datang.

"Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic adalah dua pemain yang dibawa masuk oleh Mourinho, saya percaya dengan beberapa pemain lagi, mereka mampu mempamerkan kualiti permainan yang lebih baik.

"United perlu terus mempercayai Mourinho untuk beberapa musim lagi, benarkan beliau untuk mencuba membina semula pasukan ini."