Stan Collymore berpendapat Manchester United perlu melepaskan Marouane Fellaini secara percuma di samping menjual Phil Jones, Marcus Rojo, Morgan Schneiderlin dan Bastian Schweinsteiger sebaik jendela perpindahan Januari dibuka.

Bekas penyerang Nottingham Forest dan Liverpool itu melihat United perlu melepaskan Fellaini secara percuma bagi memastikan pemain itu tidak lagi berada di Old Trafford dan pada masa sama membuka ruang buat pemain baru mengisi kekosongan tersebut.

Dia turut percaya bahawa perlunya perubahan, terutama di bahagian pertahanan, tatkala gandingan Jones dan Rojo gagal menghadirkan keampuhan seperti diharapkan.

"Kalau saya, saya akan melepaskan Fellaini secara percuma sebaik jendela perpindahan Januari dibuka," menurut artikel terbaru Collymore dalam akhbar The Daily Mirror.

"Tindakan itu akan menjadi satu kenyataan yang cukup tegas oleh Mourinho kerana secara tidak langsung membuktikan bahawa dia akan mengendalikan United buat tempoh masa yang panjang.

"Saya juga akan menjual Phil Jones, Marcus Rojo, Schweinsteiger dan Schneiderlin.

"Saya tahu mungkin ramai peminat The Red Devils akan berkata bahawa Jones telah beraksi dengan cukup baik dalam beberapa minggu ini tetapi saya tidak berasakan bahawa pemain itu mencapai tahap sepatutnya.

"Apa yang pasti dia tidak akan menjadi antara tonggak Jose Mourinho."

Bagaimanapun, dalam kelima-lima nama disebut, Collymore melihat Mourinho perlu menyingkirkan Fellaini musim ini.