Daniel James teruja dengan semangat yang ditampilkan barisan depan United ketika menang 3-1 ke atas Brighton and Hove Albion semalam dan berpendapat mereka patut menghasilkan lapan gol.

United dipalit kekecewaan susulan kekalahan 1-0 di Bournemouth hujung minggu lalu tatkala mereka bergelut untuk menembusi benteng tuan rumah.

Namun, situasi berbeza dilihat dalam aksi Liga Europa, Khamis lalu sewaktu mereka mengalahkan Partizan Belgrade 3-0 dan sekali lagi menyinar dalam aksi di Old Trafford semalam.

Sepakan Andreas Pereira yang terbias daripada pemain lawan serta gol sendiri daripada Davy Propper hadir di awal permainan dan walaupun Lewis Dunk cuba merapatkan jurang, Marcus Rashford mengesahkan tiga mata buat United.

Namun, ia seakan-akan melenyapkan dominasi United selepas Rashford melepaskan beberapa peluang keemasan sambil James, Anthony Martial, Brandon Williams dan Fred hampir menambah jaringan sebelum tamat.

"Tekanan tinggi membuahkan hasil dan itu yang kami cuba lakukan sepanjang musim, beraksi dengan sepenuh tenaga sejak awal permainan," kata James.

"Kami agak resah apabila lawan merapatkan jurang dan berasa bagus selepas kembali menjaringkan gol tetapi kami patut hasilkan tujuh atau lapan gol."

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, yang kini mengemudi pasukan bimbingannya itu ke tangga ketujuh liga turut berkongsi pendapat sama sambil memberikan pujian buat Martial dan pemain yang meraih penampilan pertama dalam kesebelasan utama liga, Williams.

"Kami patut hasilkan lebih banyak gol," katanya.

"Ia satu persembahan hebat daripada pemain dan apabila melihat mereka mara, ia sesuatu yang menyeronokkan untuk ditonton.

"Martial tidak meraih gol tetapi dia luar biasa. Williams juga cemerlang, meraih perlawanan yang bagus dan dia tampak menikmati seluruh perlawanan.

"Kedudukan liga kini bukan keutamaan. Kami perlu terus meningkatkan prestasi dan meraih kemenangan sebelum melihat kedudukan kami."