Juan Mata yakin Manchester United mempunyai segala keperluan untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, namun memberi amaran agar semua pemain tidak terbawa-bawa dengan permulaan yang cemerlang.

Musim lalu, United menamatkan kempen EPL di tangga keenam tetapi berjaya menjuarai Liga Europa untuk mengesahkan tempat dalam UCL serta memenangi Piala Liga.

Mata percaya skuad Red Devils akan mencabar lebih banyak kejuaraan musim ini dan yakin kejuaraan EPL mampu direbut semula.

“Rasa percaya itu wujud. Apabila anda bermain untuk pasukan ini, anda harus percaya anda mampu memenanginya.

“Beberapa perlawanan tanpa kemenangan membuatkan kami terlepas kejuaraan musim lalu dan kami harus mencari konsistensi dalam usaha untuk mengubahnya.

“Ini adalah tahun kedua pengurus (Jose Mourinho) di sini dan dia kini lebih mengenali pemain-pemain, jadi mari lakukannya,” kata Mata.

Pemain tengah Sepanyol itu turut memuji penyerang muda, Marcus Rashford, yang telah dua kali membarisi kesebelasan utama United musim ini serta menjaringkan gol kemenangan England ketika bertemu Slovakia, baru-baru ini.

“Sejak kali pertama kami melihatnya dalam sesi latihan, kami tahu dia adalah seorang yang istimewa.

“Dia masih boleh membesar dan pastinya menjadi ancaman yang sebenar. Rashford memiliki setiap kualiti dan mentaliti yang diperlukan untuk menjadi pemain hebat.”