Pemain tengah Manchester United, Ander Herrera, menegaskan keadaan cuaca yang tidak baik akan menyukarkan laluan United untuk meneruskan rentak kecemerlangannya.

Setiap pasukan yang bertandang ke Staffordshire kebiasaannya mengalami kesukaran untuk meraih kemenangan, namun bagi Herrera, skuad The Red Devils kini bersedia untuk mengutip kemenangan keempat dalam liga.

Pemain Sepanyol itu yakin bahawa United mampu menamatkan kemarau tiga mata ke atas Stoke setiap kali bermain di tempat lawan selepas hanya mengutip dua mata sejak 2013.

"Musim liga Inggeris sangat panjang dan semua pasukan boleh menewaskan anda. Kini kami berdepan Stoke dan kami tidak meraih sebarang kemenangan di tempat mereka dalam empat musim.

"United mengharungi permulaan musim yang hebat tetapi kami tidak boleh bersenang hati.

"Kami sudah bersedia dan diharapkan agar cuaca tidak menyukarkan kami," kata Herrera.

United kini mengutip sembilan mata hasil daripada tiga perlawanan selepas menewaskan West Ham Uunited, Swansea City serta Leicester City, menyumbat 10 gol tanpa melepaskan sebarang jaringan untuk berada di puncak liga.