MAN UNITED 4 LEICESTER CITY 1

Manchester United kembali melakar kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan tindakan Jose Mourinho menyisihkan Wayne Rooney ke bangku simpanan membuahkan hasil apabila Red Devils menundukkan Leicester City 4-1.


United hanya memerlukan tempoh 42 minit untuk menjaringkan semua empat gol itu, sekali gus membantu mereka mengelakkan kekalahan ketiga berturut-turut dalam liga.

Juan Mata, Marcus Rashford dan Paul Pogba meledak dalam tempoh lima minit sebelum berakhir babak pertama selepas United membuka jaringan menerusi Chris Smalling yang menggalas tugas selaku kapten menggantikan Rooney.

Skuad kendalian Mourinho dikritik hebat apabila melakarkan dua kekalahan liga kepada Manchester City dan Watford yang mencemarkan permulaan kempen sempurnanya.

Kapten pasukan, Rooney, diketepikan oleh pengurus, Mourinho, kerana persembahan yang kurang memuaskan sebagai perancang nombor 10.

Barisan benteng yang rapuh ternyata menjadi penyumbang kepada kekalahan Leicester -- tiga daripada empat gol United hadir daripada sepakan sudut dari sebelah kiri -- namun pujian harus harus diberikan kepada anak-anak buah Mourinho yang beraksi lebih baik tanpa Rooney.