Jose Mourinho menyifatkan pemain-pemain Manchester United sangat "hebat dalam mencari masalah" selepas mengalami kekalahan 1-0 di tangan West Bromwich Albion, sekali gus mengesahkan status juara buat Manchester City.

United sedar kemenangan ke atas pasukan terbawah liga itu bakal menangguhkan hasrat jiran setempat itu, namun jaringan Jay Rodriguez pada minit ke-73 membuatkan suasana di Old Trafford terdiam.

Skuad bimbingan Mourinho itu menguasai hampir keseluruhan perlawanan dan walaupun Romelu Lukaku hampir memberikan dua gol awal buat mereka, ketumpulan penyudah membuatkan mereka menggigit jari.

Pengendali dari Portugal itu jelas tidak gembira dengan usaha yang ditunjukkan anak-anak buahnya di sepanjang 90 minit tempoh permainan.

"Saya rasa kami layak dihukum," katanya.

"Kami hebat dalam mencetuskan masalah untuk diri sendiri, segalanya menjadi satu perkara yang membebankan.

"Kami tidak mahu bermain atau tidak beraksi dengan mudah. Segalanya menjadi perlahan, ditambah dengan permainan yang tiada keinginan, berpatah balik.

"Tiada kelancaran dalam permainan. Kami tidak patut kalah tetapi kami memberikan lawan peluang untuk menang," katanya.

Kebangkitan yang dipamerkan United sewaktu bertemu skuad bimbingan Pep Guardiola pada minggu lalu menyaksikan City terpaksa menangguhkan hasrat untuk meraikan kejuaraan lebih awal tetapi kejayaan itu membuatkan pemain-pemainnya berpuas hati.

"Saya memenangi lapan trofi dan tidak terbawa-bawa dengan kemenangan ke atas City.

"Kami layak dihukum tetapi kekalahan ini sangat berat," katanya lagi.