Phil Jones mengakui Manchester United kini berdepan masalah kerana kerap kali dibolosi di hujung perlawanan selepas melakar keputusan seri 1-1 dengan Everton di Goodison Park.

United mendahului sehingga minit ke-89 pada Ahad hasil jaringan Zlatan Ibrahimovic dalam babak pertama.

Gol tersebut dilihat mampu menghadiahkan tiga mata kepada United sehinggalah pengendali, Jose Mourinho, membawa masuk Marouane Fellaini -- membuat penampilan ke-100 buat United -- yang menjatuhkan Idrissa Gueye di dalam kotak penalti, sekaligus membenarkan Leighton Baines menyempurnakan sepakan tersebut.

The Red Devils kini hanya melakar dua kemenangan daripada 11 perlawanan berdepan kelompok atasan liga dan telah kehilangan tujuh mata yang berpunca daripada gol pada 10 minit terakhir perlawanan.

Tweet 1

"Saya rasa kami menguasai perlawanan sehinggalah memasuki minit ke-60," Jones memberitahu Sky Sports.

"Mereka bermain dengan hantaran lambung dan mendapat beberapa peluang menerusi Kevin Mirallas -- tetapi selain daripada itu, kami bertahan dengan baik dan tidak membenarkan mereka membuat percubaan yang banyak berbanding perlawanan sebelum ini.

"Tetapi kami sudah kehilangan banyak mata berharga, gol pada minit akhir sudah menjadi kebiasaan, kami perlu menghentikannya."

Ditanya apakah punca United sering dibolosi pada minit akhir, Jones menjawab: "Mungkin ekoran kurangnya tumpuan dan keletihan -- kerap kali kami menguasai perlawanan tetapi di hujung perlawanan kami gagal menang."