United berhenti daripada latihan sepakan penalti -- Mourinho

By Amirul Azreen 5 March 2017
United berhenti daripada latihan sepakan penalti -- Mourinho

Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, mendedahkan pemainnya berhenti daripada berlatih mengambil sepakan penalti selepas pasukannya sudah lama tidak dianugerahkan keputusan tersebut.

Zlatan Ibrahimovic gagal menyempurnakan sepakan penalti di hujung perlawanan tatkala United terpaksa berpuas hati dengan satu mata setelah diikat seri 1-1 dengan Bournemouth, malam tadi.

Kali terakhir United dihadiahkan sepakan penalti dalam saingan Liga Perdana Inggeris adalah pada Ogos tahun lalu.

Mourinho mendedahkan penyerang berusia 35 tahun itu bersama-sama Paul Pogba telah berhenti daripada menjalani latihan sepakan penalti kerana pengadil sukar memberikan mereka keputusan itu.

"Zlatan, Pobga -- mereka ini telah berhenti berlatih sepakan penalti, jadi apabila kami dianugerahan sepakan penalti, mereka tidak bersedia."

Sementara itu, Mourinho berasakan 'deja vu' apabila mereka melakar keputusan seri buat kali ke-10 musim ini, menyamai rekod Middlesbrough.

"Segalanya berulang," katanya. 

"Pemain terbaik perlawanan menjadi milik penjaga gol lawan.

"Kami terlepas banyak peluang. Dalam separuh masa pertama, kami bermain dengan cukup baik dan sepatutnya mendahului 3-0 atau 4-0.

"Saya tidak tahu bagaimana kami menamatkan perlawanan dengan keputusan 1-1."

About Author

Amirul Azreen

Comment