Jose Mourinho menegaskan Manchester United berhak mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat kedua musim ini.

Kemenangan 2-0 United ke atas Swansea City kelmarin meletakkan mereka kembali ke tangga kedua, dua mata di atas penghuni tangga ketiga, Liverpool.

Pendahulu EPL, Manchester City, akan menjuarai EPL jika mereka menewaskan United hujung minggu ini tetapi mengakhiri saingan di tempat kedua buat pertama kali sejak Alex Ferguson bersara pada 2013 masih lagi dalam tangan The Red Devils.

Mourinho berkata kedudukan dalam liga membuktikan United mengharungi musim yang lebih baik berbanding Liverpool, Tottenham dan Chelsea.

"Aksi berdepan Manchester City tidak penting bagi saya. Apa yang penting adalah kami memahat kedudukan kami di tempat kedua sepanjang musim ini.

"Kami akan terus bersaing dalam setiap perlawanan dan mengakhiri saingan di tempat kedua," katanya.

Mourinho membawa masuk semula Paul Pogba ke dalam kesebelasan utama ketika kemenangan ke atas Swansea tetapi pemain kebangsaan Perancis itu diketepikan dalam perlawanan berdepan Liverpool, Sevilla dan Brighton and Hove Albion.

Pengurus United itu gembira di atas persembahan Pogba walaupun berasakan terdapat penurunan dalam prestasinya dalam babak kedua perlawanan, termasuk dengan keseluruhan pasukan.

"Saya berasakan dia bermain seperti United. Mereka cemerlang pada separuh masa pertama tetapi gagal melakukannya dalam baki 45 minit.

"Tetapi tiga mata menjadi keutamaan saya. Kami meraih 10 mata lebih banyak berbanding musim lalu dan lebih banyak mencipta jaringan," ujarnya.