Jose Mourinho menyifatkan Manchester United adalah 'juara kepada keputusan yang salah' selepas menewaskan West Ham 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

United meraih tiga mata penuh di Stadium London selepas jaringan dihasilkan oleh Juan Mata dan Zlatan Ibrahimovic untuk meneruskan rekod kemenangan keenam dalam saingan EPL.

Perlawanan dipenuhi dengan insiden berkontroversi apabila pengadil, Mike Dean, melayangkan kad merah kepada Sofiane Feghouli kerana melakukan terjahan keras ke arah pertahanan, Phil Jones.

West Ham terus dikecewakan apabila Ibrahimovic meledak gol kedua di sebalik berada dalam keadaan ofsaid, namun pengadil tidak membatalkan jaringan tersebut.

Mourinho berkata beliau tidak memiliki pandangan yang jelas mengenai insiden kad merah tetapi menegaskan United juga pernah mendapat keputusan yang salah daripada pengadil sepanjang musim ini.

Beliau memberitahu BBC: "Saya belum melihatnya, saya tidak tahu. Saya berpendapat jika kami bercakap mengenai keputusan, kami adalah juara keputusan yang salah.

"Saya berada jauh dan saya tidak melihat ulang tayang di televisyen," katanya kepada Sky Sports.

"Saya perlu mengatasi kekecewaan musim ini, jaringan yang dibatalkan (menentang Middlesbrough), sepakan penalti ketika berdepan Crystal Palace, saya perlu mengatasi setiap keputusan yang salah.

"Sejujurnya, setiap pasukan mengharungi tempoh yang sukar dengan pengadil perlawanan. Ia sangat menakjubkan buat penyokong di rumah, penyokong yang hadir di stadium, tetapi buat kami, sukar untuk menerimanya."

Mata dan Marcus Rashford menjadi kunci kemenangan United apabila kedua-dua pemain gantian memberikan impak dan Mourinho memuji kebolehan mereka.

"Tahniah kepada setiap individu di atas padang. Saya agak terkilan dengan beberapa kesilapan, keputusan yang salah, tetapi segala-galanya adalah kerana kepenatan."

United kini telah memenangi enam perlawanan dan tidak tewas 13 perlawanan dalam setiap pertandingan -- pencapaian terbaik sejak Mac 2013 ketika United dikendalikan oleh Alex Ferguson.

"Kami tidak mengejar rekod, kami hanya mengejar prestasi yang cemerlang dan kutipan mata.

"Kami mengetahui Chelsea atau Tottenham akan kehilangan mata pada Rabu, seperti minggu lalu, Liverpool atau Man City akan kehilangan mata.

"Kami perlu terus mengumpul mata, kami telah seri dalam banyak perlawnaan, enam kemenangan, 18 mata -- ini yang kami perlukan."