Penyerang Leicester City, Leonardo Ulloa, menyelar pengurus, Claudio Ranieri, sambil berkata dirinya telah dikhianati oleh jurulatih kelahiran Itali itu dan membuat pendirian tidak akan bermain untuk kelab itu lagi.

Ulloa, yang membuat hanya satu permulaan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, telah membuat permohonan perpindahan minggu lalu, tetapi Foxes dilaporkan menolak tawaran pemain berusia 30 tahun itu.

Ulloa menerusi laman Twitternya menyatakan kekecewaan dengan tarikh akhir perpindahan di sebalik mendapat minat dari Sunderland, Alaves dan Galatasaray.

Pemain Argentina berkenaan jelas berusaha keras untuk keluar dari kelab juara itu ketika berterus-terang dalam satu temu bual, hari ni.

"Saya agak sedih dengan keadaan semasa," kata bekas pemain Brighton dan Hove Albion itu.

"Dengan semua menghormati LCFC (Leicester City FC), saya berasa dikhianati oleh Ranieri dan dikecewakan oleh kelab. Saya tidak akan bermain lagi untuk mereka lagi.

"Pengurus (Ranieri) memberitahu saya tiga bulan lalu dan dua minggu lalu bahawa jika tawaran sekitar £4-5 million (RM22-27 juta) tiba di kelab itu, dia akan membantu saya untuk berpindah.

"Dalam pemahaman saya, pada masa ini terdapat tawaran sekitar angka itu atau lebih besar yang tidak dipertimbangkan.

"Selepas apa yang Ranieri beritahu saya beberapa minggu lalu, hari ini dia memberitahu saya bahawa dia mahu saya kekal.

"Saya benar-benar tidak memahami keadaan ini atau mengapa mereka tidak membenarkan saya bermain bola sepak di tempat lain.

"Jika saya kekal di kelab ini, ia akan memberi kesan serius pada kerjaya saya dan masa depan saya. Mereka tahu saya tidak akan digunakan.

"Perkara yang terbaik untuk kedua-dua pihak adalah mereka menjual saya ke kelab lain dan saya boleh terus bermain di tempat lain," katanya.

Leicester dikatakan tidak sanggup untuk menjual Ulloa kepada pesaing utama liga, terutama kepada Sunderland, yang turut terlibat dalam perjuangan mengelak penyingkiran.