Pengurus Chelsea, Antonio Conte, berasa pasukannya memerlukan tuah untuk merebut tempat ke saingan Liga Juara-Juara Eropah, musim depan.

Selepas melepasi peringkat kumpulan yang terdiri daripada Atletico Madrid, Chelsea ditunjukkan jalan keluar daripada kempen Liga Juara-Juara 2017/18 oleh Barcelona dalam pusingan kedua.

Skuad kendalian Conte itu kini bergelut untuk mendapatkan slot ke pentas utama Eropah itu, ekoran lima mata yang membezakan mereka dengan kelompok empat terbaik dalam carta liga dan Chelsea bakal berdepan skuad tangga ketiga, Liverpool, malam esok.

Pengendali dari Itali itu membawa Chelsea menjuarai liga pada musim lalu dalam kempen pertamanya di England dan kini percaya bahawa faktor nasib diperlukan untuk ke saingan Eropah.

“Saya fikir dalam liga, anda mempunyai 38 perlawanan untuk membuktikan anda layak memenangi liga dan yang terbaik dalam satu musim,” kata Conte.

“Dalam saingan Liga Juara-Juara, apabila anda melangkah ke pusingan kedua, suku akhir atau separuh akhir, nasib anda boleh berubah hanya dalam satu situasi. Jadi, untuk memenangi Liga Juara-Juara, tuah harus menyebelahi anda.

“Anda harus cukup bagus untuk menikmatinya sambil mengharapkan nasib yang baik. Satu keputusan pengadil mampu mengubah masa depan anda,” tambahnya.

Jurgen Klopp mengemudi Liverpool melayakkan diri ke pentas final Liga Juara-Juara pada musim ini dan akan bertemu Real Madrid di Kiev berbekalkan corak permainan menyerang yang menghiburkan.

“Sudah tentu kita sedang bercakap tentang seorang pengurus yang sentiasa mempamerkan rasa sayangnya terhadap bola sepak,” ujar Conte mengenai Klopp.

“Saya menghormatinya. Anda boleh melihat kepadanya ketika perlawanan. Dia mahu membantu pemain sewaktu sedang beraksi. Anda boleh lihat sendiri penampilannya tidak kira dalam situasi negatif atau positif. Saya amat menghormatinya.

“Bagaimanapun, setiap pengendali memiliki cara tersendiri. Masing-masing akan cuba mendapatkan pilihan terbaik berdasarkan pasukan mereka,” katanya lagi.