Pemain tengah Manchester City, Yaya Toure, tidak faham mengapa ada pemain sanggup meninggalkan Eropah demi kantung lumayan dalam Liga Super China dan hanya menjadikan pemain seteru kota di Manchester sebagai rujukan inspirasinya.

Awal bulan ini, ejen Toure mendedahkan pemain itu sempat menolak untuk mengikut jejak langkah Oscar, Carlos Tevez dan Axel Witsel menerima gaji besar di China meskipun kontraknya di Stadium Etihad akan berakhir hujung musim ini.

Bekas bintang Ivory Coast itu dipinggirkan dalam kempen awal musim ini di bawah kendalian Pep Guardiola, namun mula menjadi nadi kepada City ketika ini.

Ia pentas yang menjadi idamannya, seperti mana bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Zlatan Ibrahimovic, yang membuat kemunculan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Manchester United pada usia 35 tahun.

Ditanya adakah dia tertarik untuk ke China, Toure memberitahu wartawan: "Bukankah saya masih kelihatan muda?

"Saya masih bermain di Eropah, terutama di England. Saya mahu meneruskan aksi sebegini untuk beberapa tahun lagi.

"Saya sentiasa mengatakan andai saya ke China, saya akan berasa 'kelaparan' di sana.

"Adakah anda beraksi kerana mencintai bola sepak atau kerana mengejar wang?

"Saya sekadar mahu beraksi kerana saya menikmatinya. Saya gemar beraksi. Saya seronok membantu rakan sepasukan, saya gembira beraksi menentang pemain bintang dalam perlawanan penting.

"Lihatlah rakan saya, Ibrahimovic. Dia berusia 35 tahun dan mungkin mampu bermain dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Dia memiliki mentaliti yang sama dengan saya. Dia seorang pemain berjiwa besar, seorang juara yang mencintai bola sepak. Bola sepak adalah paling utama.

"Selain daripada itu adalah bonus. Anda mungkin bernasib baik dapat bermain dengan sebuah kelab besar dan dibayar mahal. Tapi bagi mereka yang ke China... saya tidak fikir begitu."

Toure, yang telah memenangi dua trofi di England, mahu melanjutkan khidmatnya di City selepas lapan musim sungguhpun kurang mendapat perhatian daripada Guardiola pada awal saingan berikutan kelancangan ejennya, Dimitri Seluk.

"Saya pernah beraksi dengan banyak kelab, terutama sekali di City. Saya mahu menghadiahkan sesuatu kepada peminat.

"Saya suka bekerja keras untuk mereka, menghibur dan membuatkan mereka gembira.

"Kalau saya keletihan, saya akan katakan, "Sudahlah, beralih arah sahajalah'. Tapi saya tidak berasa seperti itu, saya berasa sangat-sangat muda."