Yaya Toure menjanjikan lebih banyak trofi buat penyokong Manchester City apabila kelab itu bersiap sedia menghadapi tiga kejohanan dalam tempoh sembilan hari.

City akan bertandang ke Bournemouth hari ini bagi aksi Liga Perdana Inggeris sebelum berdepan Huddersfield Town, Sabtu ini dalam saingan Piala FA.

Tiga hari kemudian, mereka akan menerima kunjungan Monaco bagi saingan pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Toure, yang telah meraih dua kejuaraan liga, dua Piala EFL dan satu Piala FA sejak berhijrah ke Etihad pada 2010, menegaskan dia kekal komited bagi membantu kelab itu memenuhi kabinet trofinya.

"Dengan pemain yang kami miliki, meraih kejuaraan adalah satu keindahan yang mampu berlaku," katanya.

"Bagi mereka yang menyokong kami sekian lama dan telah menyaksikan kami berada setaraf Manchester Untied dan Chelsea, pada saya itu saat yang cukup bermakna. Untuk itu, saya mahu menghadiahkan kelab ini lebih banyak trofi.

"Kami akan lakukan yang terbaik bagi mereka yang hadir ke stadium untuk menyaksikan kami bermain.

"Saya sudah berada di kelab ini untuk satu tempoh yang lama. Saya tahu erti kemenangan dan paling penting, menjulang kejuaraan di hujung musim."