Son Heung-Min berkata Tottenham Hotspur layak menjulang trofi tetapi sering tidak bernasib baik dalam pemburuan kejuaraan.

Tottenham menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris dalam kelompok tiga terbaik untuk tiga tahun berturut-turut dan bergelar naib juara di belakang Chelsea bagi musim 2016/17.

Trofi terakhir yang diraih Spurs adalah Piala Liga bagi musim 2007/08 sambil pengendali, Mauricio Pochettino, dikritik akibat ketiadaan kejuaraan walaupun memberikan sentuhan hebat buat pasukan bimbingannya.

Bintang Korea Selatan, Heung-Min, berkata Spurs gembira untuk terus berada dalam pemburuan trofi liga walaupun sering diabaikan kerana tumpuan lebih terarah kepada Manchester City dan Liverpool.

"Secara jujur, saya rasa kami tidak bernasib baik," kata Heung-Min.

"Kami sentiasa hampir. Orang ramai akan mengabaikannya tetapi kami percaya, seluruh pasukan sentiasa yakin dan kadangkala anda hanya memerlukan tuah.

"Kami boleh menang dan berhak meraihnya. Pemain layak meraih sesuatu. Sudah tentu tekanan akan tinggi untuk menjulang trofi tetapi kami harus menikmatinya dan memberikan tenaga positif. Ia sangat penting.

"Kami berada di tangga kedua tetapi tiada siapa bercakap tentang kami dan memilih City serta Liverpool. Kami akan melakukannya dengan cara kami dan tidak peduli. Sama ada orang memperkatakan tentang kami atau tidak, kami hanya fokus kepada diri sendiri.

"Bola sepak berkisar tentang kejutan. Orang ramai tidak bercakap tentang City akan kalah tetapi mereka tewas dua perlawanan berturut-turut. Musim masih panjang dan jika kami terus mengutip mata, lihat nanti di penghujung musim."

Heung-Min menangguhkan proses untuk menyertai skuad Piala Asia Korea bagi membolehkannya beraksi buat Spurs yang telah memenangi lima perlawanan berturut-turut.

Dia boleh beraksi dalam pertemuan dengan Manchester United, 13 Januari ini, sebelum ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk perlawanan terakhir Kumpulan C menentang China.