CHELSEA 1 TOTTENHAM 3

Mauricio Pochettino percaya pencapaian Tottenham musim ini amat memberangsangkan apabila Stadium Wembley dijadikan sebagai venue laman sendiri.


Tottenham mengakhiri penantian 28 tahun untuk meraih kemenangan di Stamford Bridge selepas bangkit untuk menewaskan Chelsea 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Tandukkan Alvaro Morata meletakkan Chelsea di depan tetapi percubaan jarak jauh Christian Eriksen menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa, dengan dua jaringan dalam tempoh lima minit daripada Dele Alli memastikan kemenangan berpihak kepada Spurs.

Banyak yang telah dilakukan oleh Tottenham ketika beraksi di Wembley sebagai venue laman sendiri ketika menunggu stadium mereka siap dibina, terutama sekali bergelut dalam saingan Eropah pada musim lalu.

Pochettino secara konsisten menyatakan kerisauannya tetapi kini Spurs mendahului lapan mata ke atas Chelsea dalam persaingan mendapatkan slot ke Liga Juara-Juara (UCL).

"Ia merupakan kemenangan yang berharga buat kami, mata penuh yang sangat penting. Kami berada dalam kedudukan yang baik untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik musim ini," kata Pochettino.

"Sukar untuk menyatakan jika kami akan mengakhiri saingan dalam kelompok empat terbaik atau menjuarai Piala FA dianggap sebagai musim yang berjaya. Langkah demi langkah, kami cuba untuk memenangi setiap perlawanan, itu keutamaan kami.

"Mengakhiri saingan dalam kelompok empat terbaik adalah pencapaian terbaik pasukan ini dan kami memiliki kebarangkalian untuk menewaskan Manchester United dan ke final Piala FA.

"Kami sangat gembira musim ini. Menghadapi kesukaran pada permulaan musim ini dan kini kami semakin serasi dalam setiap aspek.

"Perjalanan masih panjang. Kami akan terus memberikan tumpuan dan membuat persiapan untuk aksi seterusnya," katanya lagi.