Pemain tengah Tottenham Hotspur, Giovani Lo Celso, terpaksa diketepikan sehingga hujung bulan depan selepas mengalami kecederaan pinggul ketika menghadapi saingan antarabangsa.

Pemain berusia 23 tahun itu menjadi sasaran beberapa terjahan keras sewaktu Argentina terikat 0-0 menentang Chile di Los Angeles, minggu lalu sehingga terpaksa dikeluarkan pada minit ke-53.

Charles Aranguiz menggunakan tapak kaki untuk menghalang pergerakan pemain yang menyertai Spurs secara pinjaman itu tetapi selepas itu, Lo Celso mendakwa masalah pada bahagian buku lalinya tidak serius.

Bagaimanapun, laman web rasmi Spurs telah mengeluarkan kenyataan semalam:" Dia akan menjalani proses pemulihan dan dijangka kembali menyertai sesi latihan bersama skuad utama pada penghujung bulan depan."

Lo Celso hadir ke Spurs daripada Real betis pada 8 Ogos lalu menerusi pinjaman berserta pilihan perpindahan tetap pada penghujung musim tetapi setakat ini, dia hanya masuk selaku pemain gantian sebanyak tiga kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Bercakap selepas dua minggu kehadiran pemain Argentina itu, pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino, berkata bintang tengah itu masih jauh daripada jangkaan yang diletakkan kepadanya tetapi tidak meletakkan harapan tinggi terhadap pemain berusia 23 tahun itu.