Pemain yang baru menyertai Arsenal, Lucas Torreira, mendedahkan bahawa dia merupakan seorang peminat bintang tengah Paris Saint-Germain (PSG), Marco Verratti.

Torreira melengkapkan perpindahan bernilai RM138 juta dari Sampdoria ke Emirates, Selasa lalu, selepas mengharungi kempen yang cemerlang bersama Uruguay dalam Piala Dunia hingga mara sehingga ke suku akhir.

Ketika temubual media Arsenal, dia berkata: "Saya cuba untuk mengenal pasti pemain yang terbaik dan mendapatkan sesuatu daripada mereka.

"Benar, saya amat meminati gaya Verratti. Saya menghabiskan masa selama dua tahun di bekas kelabnya, Pescara, dan penyokong mula membandingkan saya. Saya melihat gayanya dan menyukainya."

Torreira memulakan kariernya di negara kelahirannya sebelum menyertai skuad belia Pescara pada 2013.

Verratti juga merupakan bekas produk skuad belia Pescara dan dia dilahirkan di situ.