Antonio Conte dilihat tidak berpuas hati apabila Chelsea berkemungkinan besar berdepan pemotongan mata sebagai hukuman susulan pergaduhan yang berlaku ketika aksi membabitkan Manchester City dan pasukan itu, minggu lalu.

Kedua-dua pasukan itu didakwa oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) atas kegagalan mengawal tingkah laku pemain yang menyebabkan berlakunya pergaduhan pada hujung perlawanan yang berlangsung di Stadium Etihad.

Situasi ini memberikan tamparan hebat untuk Chelsea mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga dan Conte memberikan kritikan pedas ketika ditanya berhubung situasi terbabit selepas perlawanan bertemu West Bromwich Albion.

"Pada pendapat saya, jika kamu terlibat dengan situasi ini tetapi ia bukan kesalahan kami, mengapa kami perlu menerima hukuman tersebut, mengapa? Saya tidak faham perkara ini.

"Selepas perlawanan, anda sendiri dapat saksikan bahawa pemain saya cuba untuk kekal tenang. Anda mesti jujur untuk memahami jika ia berlaku, ia adalah sama ada membabitkan dua pasukan atau hanya satu pasukan.

"Kami bekerja keras dalam setiap perlawanan dan semuanya selesai apabila pengadil meniup wisel penamat. Sebab itulah saya katakan anda cuba bergurau."