Danny Rose baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mengkritik struktur gaji serta polisi perpindahan yang diterapkan di dalam pasukan Tottenham Hotspur sehingga menimbulkan tanda tanya mengenai keharmonian yang wujud di dalam pasukan.

Pertahanan England itu membidas kelabnya kerana tidak memberikannya gaji yang setimpal dengan sumbangan yang telah diberikannya kepada pasukan sambil menggesa Spurs agar mendapatkan pemain bintang.

Bagaimanapun, dia meminta maaf atas kenyataan itu walaupun masa depannya di Lily Whites tampak samar selepas menarik minat Manchester United dan Chelsea untuk mendapatkan khidmatnya.

Kapten Spurs, Hugo Lloris, menyifatkan kenyataan Rose itu tidak memberikan kesan kepada pasukan dan mengalu-alukan Rose untuk kembali apabila sudah bersedia.

“Rose adalah sebahagian daripada pasukan dan kami memahami kekecewaannya. Sudah hampir enam atau tujuh bulan dia tersisih akibat kecederaan,” kata Lloris.

“Pihak kelab hanya berdiam diri. Rose melakukan kesilapan, meminta maaf dan kami melupakannya. Mudah.

"Seluruh pasukan tidak terkesan dengan perkara itu kerana mahu fokus terhadap aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Apa yang penting adalah tidak perlu mengulanginya dan sebagai ketua pasukan, saya yakin perkara ini tidak memberi kesan kepada sesiapa di kelab kerana kami telah melupakannya.

"Komitmen yang ditunjukkan di dalam pasukan sangat hebat,” tambahnya.