Pemain baru West Ham United, Javier Hernandez atau Chicharito, menyifatkan ia satu detik yang tidak akan dilupakan sekiranya dia berjaya membantu pasukannya meraih tiga mata apabila membuka tirai Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang bekas pasukannya, Manchester United.

Hernandez menjaringkan 59 gol bersama United sebelum berhijrah ke Bayer Leverkusen pada 2015, setahun selepas dipinjamkan ke Real Madrid.

Pemain berusia 29 tahun itu berjaya menjaringkan 11 gol musim lalu setelah mengharungi musim pertama yang menakjubkan di Leverkusen dengan 17 gol.

Bagaimanapun, dia melengkapkan perpindahannya ke West Ham dengan yuran berjumlah GBP16 juta (RM89 juta) untuk menyertai skuad kendalian Slaven Bilic dan dia tidak sabar untuk memulakan saingan EPL menentang bekas kelabnya, United.

“Saya akan kembali ke kelab lama saya untuk pertama kali, rumah lama saya.

“Ia adalah detik istimewa tetapi kali ini saya menyarung jersi pasukan lain,” ujar Hernandez.

“Saya ingin membantu pasukan mendapatkan tiga mata dan memulakan saingan dengan langkah kanan,” katanya.

Ketibaan Hernandez di West Ham menjadi tumpuan selepas Bilic sebelum itu mendapatkan khidmat tiga pemain berprofil tinggi, Marko Arnautovic, Joe Hart dan Pablo Zabaleta.