Pep Guardiola mendakwa dia gembira dengan kehidupan di Manchester, tidak seperti pengendali Manchester United, Jose Mourinho.

Mourinho mendedahkan minggu ini bahawa dia sedang menempuh kehidupan terumbang-ambing di Manchester.

Namun, Guardiola, yang memiliki ahli keluarga bersamanya, menegaskan dia berasa cukup gembira dengan kehidupan di Manchester meskipun City gagal memburu kemenangan selepas enam perlawanan berturut-turut.

"Saya suka akan kehidupan saya di sini. Walaupun saya tidak berapa gembira dengan keputusan pasukan kebelakangan ini, tetapi kehidupan yang bahagia tidak bergantung kepada keputusan perlawanan," katanya dalam sesi sidang media pada Jumaat.

"Ia hanya sedikit mengganggu kehidupan harian kerana senario ini membuatkan kamu perlu berkerja lebih keras untuk cuba memajukan pasukan.

"Tetapi secara keseluruhan, anak saya gembira di sekolah dan isteri saya turut berkongsi perasaan sama. Saya juga berkerja dengan baik di samping memiliki mereka yang menjaga saya. Jadi saya sangat gembira."

Guardiola memulakan karier bersama City dengan cukup cemerlang apabila merekodkan kemenangan dalam kesemua 10 perlawanan pertama, namun mereka bergelut setakat ini.

"Banyak perkara sudah berubah selepas enam perlawanan. Pada awalnya, kami menang dan ketika ini, kami tidak. Namun seperti mana kami lakukan pada awal musim, kami sedang berjuang."

Sementara itu, Mourinho, yang tinggal di Hotel Lowry, Manchester, memberi bayangan bahawa dia merindui ahli keluarganya, yang tinggal di London.

"Kehidupan saya agak terumbang-ambing ketika ini kerana ada kalanya saya ingin berjalan sekejap tetapi saya tidak boleh melakukannya," katanya selepas United melakar kemenangan 1-0 ke atas City.

"Minggu depan, anak perempuan saya akan mencecah usia 20 tahun, anak lelaki saya akan mencapai usia 17 tahun dalam tempoh beberapa bulan. Kehidupan mereka sudah cukup stabil.

"Mereka menghadiri universiti di London dan bermain bola sepak di London. Mereka sudah berada pada usia di mana mereka tidak boleh mengikut saya ke sana sini seperti sebelum ini. Inilah kali pertama keluarga saya berdepan situasi ini."