Olympique Lyonnais menyedari minat terhadap Nabil Fekir, namun masih belum menerima tawaran ke atas pemain itu, demikian menurut presiden kelab, Jean-Michel Aulas.

Fekir, 24, kerap dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, selepas meledak 18 gol dalam Ligue 1 musim ini.

Laporan mencadangkan The Reds akan membuat tawaran sejurus selepas final Liga Juara-Juara (UCL) menentang Real Madrid, dengan dana perlawanan itu berpotensi membantu kelab untuk membiayai langkah itu.

Bagaimanapun, Aulas menegaskan sebarang perjanjian mengenai kapten kelab itu tidak akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

"Kami hanya tahu ada pasukan berminat. Ejennya, Jean-Pierre Bernes, memberitahu kami demikian," kata Aulas kepada L'Equipe.

"Tiada perbincangan berlaku sama ada dengan Nabil atau dengan kelab lain, jadi ia sangat tidak berasas.

"Dia juga teragak-agak untuk berpindah kerana berpeluang beraksi dalam UCL bersama Lyon," katanya.

Fekir kini berada di kem pasukan kebangsaan Perancis kendalian Didier Deschamps yang dalam persiapan menghadapi Piala Dunia 2018 di Russia bulan depan.

Bercakap kepada wartawan, pemain antarabangsa yang sempat tampil 10 kali itu mengulangi hasratnya untuk tidak mengendahkan sebarang spekulasi.

"Buat masa ini, saya berada di Clairefontaine. Kami akani menghadapi perlawanan dan situasi kelab tidak terlintas di dalam fikiran saya," kata Fekir.

"Saya akan membiarkan perkara itu berlaku, namun apa-apa perkembangan sekalipun, saya perlu bercakap dengan Jean-Michel Aulas dan kami akan lihat apa yang berlaku seterusnya."