Pengendali West Bromwich Albion, Alan Pardew, mendedahkan pasukannya masih belum menerima sebarang bidaan bagi mendapatkan khidmat pertahanannya, Johnny Evans.

Pemain Ireland Utara itu dilaporkan menjadi buruan Manchester City dan Arsenal sebaik sahaja jendela perpindahan Januari dibuka dan dia dianggarkan bernilai GBP23 juta (RM126 juta).

Bagaimanapun, Pardew memberitahu bahawa West Brom masih menunggu tawaran rasmi daripada pasukan yang mahu mendapatkan bekas pertahanan Manchester United itu sambil menyifatkan dia lebih rela mempercepatkan perpindahan itu bagi memudahkannya mencari pengganti.

“Apa yang saya tahu, tiada tawaran rasmi dikemukakan, jadi tiada apa yang perlu dibincangkan,” kata Pardew.

“Dalam masa sama, kami telah menetapkan jangka masa tertentu untuk menerima sebarang tawaran yang boleh dipertimbangkan buat Evans.

“Dia tidak datang berjumpa saya minggu ini dan kami juga tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada pasukan lain. Itu sahaja perkembangan setakat ini.”

Pardew juga memuji tahap fokus yang dipamerkan Evans walaupun dikaitkan dengan perpindahan keluar dari West Brom sambil menyifatkannya bijak mengawal diri.

“Dia sangat hebat tidak kira di dalam atau di luar sesi latihan. Kekuatan mentalnya sangat bagus.

“Ada sesetengah pemain yang terpaksa diberikan peringatan kerana memberi kesan kepada pemain lain apabila dikaitkan dengan spekulasi sebegini tetapi saya tidak berhadapan perkara seumpama itu dengan Evans,” tambahnya.