Pep Guardiola enggan menjangka sama ada Kylian Mbappe mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bintang Barcelona, Lionel Messi, tetapi memberi amaran tiada pemain yang mampu duduk semeja dengan pemain itu.

Manchester City merupakan antara mangsa Mbappe ketika bersama AS Monaco musim lalu, dengan pemain muda itu meledak dalam dua pertemuan pusingan 16 yang menyaksikan wakil Perancis itu melakar kemenangan dengan gol di tempat lawan setelah perlawanan berkesudahan 6-6.

Secara keseluruhan, Mbappe menyumbat 26 gol dalam 44 perlawanan untuk membantu Monaco mengatasi Paris Saint-Germain dalam perebutan kejuaraan Ligue 1.

Mbappe kemudian berhijrah ke PSG, bergandingan dengan bekas rakan sepasukan Messi, Neymar, tatkala gergasi Perancis itu dilihat bertekad mendominasi setiap kejohanan di Eropah.

Penyerang antarabangsa Perancis itu mencetak jaringan dalam aksi sulung bersama PSG sebelum menambah jaringan berdepan Celtic dalam aksi Liga Juara-Juara tetapi Guardiola menegaskan pencapaian pada usia muda tidak menjamin masa depan yang cemerlang.

"Tiada siapa mampu duduk semeja dengan Messi," kata Guardiola.

"Mungkin Mbappe, dia seorang pemain yang hebat. Dia akan menjadi pemain yang menakjubkan, itu saya pasti.

"Tetapi untuk menyamai rekod 10 hingga 12 tahun Messi atau Cristiano Ronaldo, itu kita perlu tunggu.

"Saya enggan meletakkan tekanan ke atas Mbappe.

"Messi bermain 60 hingga 70 perlawanan setahun. Dia tidak terlepas perlawanan penting dan sentiasa menyumbang dalam jaringan dan bantuan jaringan. Dia tidak pernah mengalami kecederaan kerana dia bijak mengawal tubuhnya.

"Jadi, bagi saya, biarlah Mbappe memiliki karier yang cemerlang pada masa akan datang dan barulah kita menilai sama ada dia mampu menjadi seperti Messi."

Pada masa sama, Guardiola mahu mengurangkan beban yang diletakkan di atas pemain penyerang, Sergio Aguero dan Gabriel Jesus, serta menegaskan pasukannya tidak memerlukan pemain seperti Messi untuk membawa pasukan meraih kejayaan.

"Ketika saya di Barca, dalam setiap sidang media, saya cuba berkata bahawa kami bernasib baik memiliki pemain seperti Messi.

"Selepas itu, saya menyedari bahawa dia seorang pemain yang tidak pernah saya temui sebelum ini. Tetapi saya enggan meletakkan beban itu di atas bahunya.

"Saya mencorakkan permainan, dan dia yang akan melaksanakan perbezaan.

"Saya enggan meletakkan tekanan terhadap Sergio atau Gabriel kerana satu pasukan yang mantap mampu mencipta gol tanpa bergantung kepada kualiti pemain penyerang."