Jurgen Klopp menegaskan kenyataannya pada 2016 mengenai keinginan tinggi untuk berbelanja dalam bola sepak moden tetap benar walaupun dia sendiri melakukannya bersama Liverpool kebelakangan ini.

Ketika Manchester United mendapatkan Paul Pogba pada 2016, Klopp mengkritik dan menegaskan beliau akan menggunakan wang tersebut secara berbeza.

Namun, sejak itu, Liverpool dilihat membawa masuk Virgil Van Dijk dan Alisson selaku pertahanan dan penjaga gol termahal dunia, dan dalam masa sama turut mendapatkan Mohamed Salah, Naby Keita dan Fabinho dengan nilai lebih daripada GBP40 juta (RM213 juta) setiap seorang.

Selepas melengkapkan perpindahan Alisson pada Khamis lalu, kenyataan Klopp pada 2016 itu diimbas kembali, yang mencetuskan reaksi daripada Klopp ketika sidang media.

"Itulah masalahnya. Apa sahaja yang anda katakan, tiada siapa akan melupakannya," kata Klopp.

"Ia masih benar. Saya tidak dapat membayangkan dunia kini sudah berubah. Nilai GBP100 juta (RM533 juta) buat Pogba adalah satu jumlah yang gila tetapi sejak itu segala-galanya berbeza.

"Kami mendapatkan penjaga gol termahal, kemudian ada beberapa perpindahan baik yang dilakukan oleh kelab lain. Ia bukan sekadar tentang pemikiran saya terhadapnya dan tidak mengeluarkan perbelanjaan yang besar tetapi jika kami gagal, kami harus berusaha.

"Untuk meningkatkan pasukan, ia memerlukan wang. Setakat ini, ia menjadi tahun yang baik buat kami, lebih bagus berbanding tahun lalu.

"Kami memerlukan pengganti yang baik. Emre Can meninggalkan pasukan dan kami dapat membawa masuk Fabinho. Xherdan Shaqiri, kami menyaksikannya beraksi dalam Piala Dunia. Saya tahu Stoke tersingkir ke Liga Kejuaraan tetapi dia mengharungi banyak perlawanan yang menarik.

"Kami tidak peduli apa yang dunia fikirkan, sama seperti yang dilakukan oleh Manchester United, tidak mengambil kisah apa yang saya katakan."