Willian mendedahkan tiada peluang buat dirinya untuk terus kekal bersama Chelsea jika Antonio Conte masih lagi ketua jurulatih The Blues musim ini.

Conte telah digantikan dengan Maurizio Sarri di Stamford Bridge. Dengan kehadiran bekas pengendali Napoli itu, Chelsea meraih kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield Town dalam aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu.

Dengan Eden Hazard yang masih belum cergas sepenuhnya, Willian tersenarai dalam skuad Sarri menyertai Alvaro Morata dan Pedro di jentera serangan.

Tetapi pemain kebangsaan Brazil itu telah disahkan berada dalam senarai perpindahan jika Conte terus dikekalkan sebagai pengendali The Blues.

"Adakah saya akan berada di sini jika Conte kekal sebagai pengendali? Tidak sama sekali," kata Willian.

"Saya berada di sini kerana mahu bermain untuk Chelsea. Saya akan berhijrah jika Chelsea tidak lagi perlukan khidmat saya."

Willian telah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United, dengan pemain berusia 30 tahun itu mengesahkan minatnya untuk kembali bergandingan dengan bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho, sekali lagi.

Barcelona turut dilaporkan melakukan beberapa siri bidaan yang ditolak Chelsea untuk membawa Willian ke Nou Camp.

Jaringan daripada N'Golo Kante, Jorginho dan Pedro membantu Chelsea meraih kemenangan pertama buat Sarri dan Willian mendedahkan dia menikmati gaya permainan baru pasukan.

"Kami memiliki beberapa pemain berkualiti, pemain-pemain seperti Eden Hazard dan Pedro, pemain-pemain yang mahu bermain bola sepak.

"Sarri mahu kami bermain bola sepak dengan keseronokan dan itu yang mahu kami lakukan bagi musim ini," ujarnya.