Pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne menegaskan balas dendam bukan niatnya ketika mencetak gol kemenangan ke atas bekas kelabnya, Chelsea, dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Skuad kendalian Pep Guardiola kembali ke persada liga, hanya perbezaan jaringan membezakan mereka dengan Manchester United, selepas De Bruyne menghadiahkan gol buat pasukan pelawat pada minit ke-67 di Stamford Bridge.

Pemain berusia 26 tahun itu menyerlah dalam tempoh keduanya beraksi di England selepas meninggalkan Chelsea untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

De Bruyne dipinjamkan ke Werder Bremen pada 2012 sebelum menyertai Wolfsburg dua tahun kemudian, di mana prestasinya berjaya menarik minat City untuk menandatanganinya pada Ogos 2015.

"Itu perkara lepas," katanya.

"Saya tidak menyesal untuk berpindah ke City. Ia telah membantu pasukan ini untuk menjadi lebih kuat.

"Saya menngambil keputusan ketika itu, Chelsea telah membuat keuntungan dan saya melakukan apa yang terbaik untuk masa depan saya."