Pengurus Southampton, Claude Puel, menegaskan keputusannya memberikan Virgil van Dijk memakai lilitan kapten bukanlah disebabkan untuk memujuk pertahanan Belanda itu agar kekal di Stadium St Mary's.

Van Dijk dinamakan selaku ketua pasukan susulan penyandang jawatan terdahulu, Jose Fonte, berpindah ke West Ham dengan Steven Davis dilantik sebagai ketua pasukan secara tetap.

Pemain antarabangsa Belanda itu sering dikaitkan dengan kelab-kelab seperti Liverpool, Manchester United dan Manchester City.

"Kami tidak memberikan dia peranan sebagai kapten hanya kerana ingin dia kekal di sini," kata Puel menjelang pertemuan kedua Southampton dengan Liverpool untuk aksi separuh akhir kedua Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi Khamis nanti.

"Ketika Jose tidak bermain, kami memiliki Virgil, Steven dan Maya Yoshida -- kami memiliki ketua pasukan yang berbeza.

"Adalah normal memberikan tanggungjawab ini kepada Virgil kerana dia menjadi contoh di atas padang.

"Adalah penting dia terus mengetuai pasukan (di atas padang) dan Steven Davis pula sebagai ketua pasukan kelab di dalam bilik persalinan dan sebagai timbalan ketua pasukan.

"Mereka berdua memiliki nilai hebat dan menjadi contoh dalam setiap sesi latihan, di atas padang dan bilik persalinan."

Puel terpaksa menamakan kapten pilihan ketiganya ketika Southampton turun mempertahankan kelebihan 1-0 yang dimiliki di Anfield dengan kedua-dua calon kapten itu ditimpa kecederaan, namun pengurus Perancis itu yakin kualiti kepimpinan dalam skuad itu.

"Pemain berbeza memiliki peranan penting dalam skuad ini – Ryan Bertrand, Maya Yoshida, James Ward-Prowse," tambahnya.

"Dia (Ward-Prowse) merupakan pemain muda dan dia sedar dengan peranan ini bersama pasukan bawah 21 tahun England. Kami memiliki skuad mantap dan pemain berperwatakan berbeza boleh menggalas tugas itu."