Bekas pemain Liverpool, Phil Thompson, berpendapat skuad kendalian Jurgen Klopp itu berdepan kepincangan di setiap posisi.

Tewas 3-1 kepada Leicester City, Isnin lalu, mengecewakan Thompson yang turut pernah berkhidmat selaku pembantu dan pengendali sementara The Reds.

Dia percaya Klopp berdepan tugas berat untuk membentuk semula kesebelasan utama di samping berpendapat pemain tidak mempamerkan perwatakan yang baik, sekaligus mencadangkan Liverpool memerlukan pemain seperti Roy Keane.

"Liverpool perlu berbelanja besar musim panas ini dan cuba mencari beberapa pemain tonggak, terutama bagi mengisi slot penjaga gol, pertahanan, pemain tengah dan penyerang," Thompson memberitahu Sky Sports.

"Kami perlukan pemain agresif di bahagian tengah, mungkin seseorang seperti Graeme Souness dan berani saya katakan, Roy Keane.

"Liverpool merupakan enam pasukan besar di England tetapi mentaliti dan perwatakan mereka antara yang paling teruk.

"Hampir pasti mereka akan tampil ampuh berdepan Arsenal (esok) tetapi apabila itu berlaku, kita akan tertanya-tanya mengapa ini berlaku?

"Mereka tidak mampu menang dengan permainan buruk, mereka hanya menang dengan aksi cantik."

Tambahnya: "Sejak Klopp mengambil alih Liverpool, mereka telah mengaut keuntungan besar, jadi hampir pasti mereka memiliki kekuatan untuk berbelanja besar.

"Jika Daniel Sturridge dijual hujung musim ini, sudah tentu nilainya agak tinggi, jadi kita perlu mencari pemain berkualiti sebagai ganti."