The Saints kecewakan Liverpool untuk ke final EFL

By Stefan Coerts 25 January 2017
 The Saints kecewakan Liverpool untuk ke final EFL
LIVERPOOL 0 SOUTHAMPTON 1
(Southampton layak menerusi agregat 2-0) 

Jurgen Klopp berang dengan pengadil, Martin Atkinson, ekoran kegagalannya untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada Liverpool selepas bola jelas terkena tangan Shane Long yang menyaksikan The Reds tersingkir dalam saingan separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) kepada Southampton, awal pagi tadi. 

Long menjaringkan gol kemenangan pada lewat pertemuan kedua di Anfield ini yang memastikan Southampton mara dengan agregat 2-0 untuk beraksi di Wembley berdepan sama ada Manchester United atau Hull City. 

Pengurus Liverpool, Klopp, mengakui pasukan bimbingannya perlu memanfaatkan peluang yang terhidang, bagaimanapun dia berasakan Atkinson telah membuat keputusan salah dengan tidak mengurniakan sepakan penalti selepas bola mengenai tangan Long. 

Pengurus dari Jerman itu gagal berselindung dengan perasaan marahnya kerana ini bukan kali pertama pasukannya dinafikan hak mereka disebabkan oleh kelemahan pengadil musim ini.

"Pengadil gagal mengesan bola terkena tangan Long dan ia tidak membantu dalam perlawanan seperti ini. 

"Kalau kami dapat dengar wisel pengadil adalah lebih bagus. Saya tidak terkira lagi berapa kali perkara ini telah berlaku musim ini," kata Klopp kepada BBC Sport.

"Ketika berdepan Manchester United, kami dibolosi dengan gol yang jelas ofsaid (yang dijaringkan oleh Zlatan Ibrahimovic). Tiada siapa yang membuka mulut. 

"Malam ini, kami tidak diberi sepakan penalti, tiada siapa yang membuka mulut."

Berkenaan kemenangan Southampton dan tindakan penyudah Liverpool, Klopp menambah: "Mereka memenangi kedua-dua perlawanan, mereka berhak. 

"Kami beraksi baik. Kami gagal mencipta lebih banyak peluang sepertimana semasa separuh masa kedua, kami mendominasi. 

"Adalah sukar kerana kami perlu mengambil risiko dan berdepan risiko besar melalui keupayaan mereka.

"Kami memiliki beberapa peluang dan tiada nasib. Tindakan (oleh Fraser Forster), ia adalah aksi menyelamat yang cemerlang tapi ia adalah faktor tuah.

"Kami ada tujuh peluang. Kami perlu menyumbat gol, kami gagal melakukannya dan kalah. 

"Corak permainan tidak menjadi masalah kepada saya, namun bukan keputusannya."
 

About Author

Stefan Coerts

Comment