BURNLEY 1 LIVERPOOL 2

Jurgen Klopp berkata Virgil van Dijk tidak akan tergesa-gesa untuk membuat penampilan pertamanya bersama Liverpool menjelang pertemuan sengit dengan Everton dalam aksi Piala FA, hujung minggu ini.


Van Dijk berpindah ke Anfield dari Southampton dengan yuran £75 juta (RM411.6j) tetapi tidak diturunkan dalam kemenangan 2-1 ke atas Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa Belanda itu yang kali terakhir beraksi pada 13 Disember lalu -- tewas 4-1 kepada Leicester City di laman sendiri -- kini berusaha untuk memulakan kariernya di Liverpool.

Ditanya bilakah Van Dijk akan membuat penampilan pertamanya, Klopp menjawab: "Saya tidak tahu.

"Kami membuat beberapa ujian yang masuk akal untuknya dan bagi kami untuk melihat sejauh mana tahapnya , itu sahaja.

"Dia teruja dan dia benar-benar mahukannya, itu semua bagus tetapi kami mesti memastikan dia boleh melaksanakannya.

"Pertahanan tengah bergantung kepada semua yang lain di padang. Wujud beberapa cabaran yang perlu anda selesaikan sendiri dan rakan sepasukan akan sentiasa bersama-sama. Itu bermakna anda harus menyesuaikannya supaya ia berfungsi dengan baik bersama-sama.

"Kami memerlukan masa. Pra-musim adalah untuk itu tetapi kami tidak memiliki pra-musim (bersamanya), semuanya akan berjalan lancar.

"Selepas menentang Everton, kami mempunyai masa yang lebih sedikit, itu akan membantu tetapi ia adalah projek jangka panjang.

"Jadi, adalah tidak penting bilakah dia akan diturunkan. Paling penting adalah berapa banyak perlawanan yang bagus akan ditampilkannya untuk Liverpool. Itu saya sangat berminat," katanya.

The Reds memungut tiga mata selepas tiga gol terhasil pada babak kedua menerusi jaringan Sadio Mane (minit ke-61) sebelum dipadamkan oleh Johann Berg Gudmundsson, tiga minit menuju penghujung perlawanan. Namun, Ragnar Klavan muncul wira apabila menjaringkan gol pada masa kecederaan.

Philippe Coutinho (paha) dan Mohamed Salah (pangkal paha) terlepas kemenangan di Burnley dan Klopp mengesahkan kedua-dua pemain itu dalam keraguan untuk menghadapi Everton di peringkat ketiga Piala FA.

Pengurus itu juga mendedahkan bahawa Salah di samping Sadio Mane akan dibenarkan menghadiri majlis anugerah Pemain Terbaik Afrika di Ghana, lusa, hanya 24 jam sebelum Liverpool menjadi tuan rumah kepada Everton.

"Kami mempunyai dua daripada tiga pemain terbaik Afrika dalam skuad kami. Kami boleh duduk sahaja di rumah sambil melihat mereka meraikannya dan kami pula tidak berminat, tetapi itu tidak akan menunjukkan rasa hormat yang perlu kami tunjukkan dalam keadaan seperti ini," kata Klopp.

"Sama ada mereka akan bersedia atau tidak (menentang Everton), jika Mo tidak bersedia ia tidak mempunyai kaitan dengan perjalanan itu (ke Ghana) kerana kami boleh menghantar fisioterapis bersamanya dan menyediakan segala yang diperlukan, itu bukan masalah.

"Saya tahu saya mempunyai Pierre-Emerick Aubameyang dari Borussia Dortmund. Auba adalah calon ketiga -- oh, saya telah melatih mereka semua, ia hebat!"