LIVERPOOL 0 WEST BROM 0

Jurgen Klopp enggan mengkritik pengadil perlawanan selepas Liverpool diikat 0-0 di laman sendiri dengan West Brom awal pagi tadi, yang menyaksikan gol Dominic Solanke dibatalkan kerana terkena tangan.


Solanke menyumbat gol selepas beberapa minit pengenalannya pada babak kedua, namun bola yang ditampan penyerang England itu menggunakan dada bergolek mengenai tangannya.

Skuad bimbingan Klopp buntu untuk menembusi pintu gol Baggies yang liat sehingga menyekat peluang mereka untuk merampas tangga keempat selepas tiga keputusan seri dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Begitupun, Klopp sedikit keliru mengenai jaringan Solanke yang dibatalkan itu.

"Ia dua kali terbias dan saya masih tidak pasti," kata Klopp.

"Sudah tentu ia mengenai dada Solanke dan saya tidak pasti sama ada ia terkena tangan.

"Kita tidak boleh mengubah keputusan itu, jadi baiklah."

Liverpool tercicir 18 mata di belakang pendahulu EPL, Manchester City, selepas tiga aksi seri di tempat sendiri dan pengurus Jerman itu mengakui The Reds beraksi di bawah kemampuan sebenar ketika berdepan West Brom.

"Pada separuh pertama, aksi kami agak sengit, hantaran dan pergerakan tidak begitu baik tetapi kami mempunyai dua atau tiga peluang," kata Klopp.

"Pada separuh kedua, kami mengubah sistem permainan sebanyak dua atau tiga kali. Ia sukar tetapi Loris Karius hanya sekali terpaksa menyelamatkan pintu gol -- tindakan yang cukup penting.

"Kami boleh melakukan yang lebih baik lagi, namun pada malam seperti ini apabila anda tidak berada pada tahap yang terbaik, anda memerlukan sedikit tuah.

"Ini bukan permainan terbaik kami tetapi saya fikir kami mempunyai peluang yang cukup untuk menang, kami tidak menggunakannya dan kami perlu menerima keputusan ini," katanya.