Virgil van Dijk berkata Liverpool dahagakan kejayaan selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL).

Kemenangan 2-0 ke atas Tottenham di Madrid, awal bulan ini, menyaksikan Jurgen Klopp mengakhiri kemarau trofinya di kelab itu.

Liverpool gagal meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), namun menamatkannya satu mata di belakang Manchester City dalam usaha mereka untuk memenangi liga selepas 29 tahun.

Van Dijk, yang merupakan sebahagian daripada pasukan Belanda yang tewas dalam final Liga Negara-Negara Eropah kepada Portugal, berasakan Liverpool pasti mendambakan lebih banyak kejayaan untuk kempen 2019-20.

"Saya mempunyai tempoh beberapa hari untuk merenungi musim yang luar biasa ini," tulis Van Dijk di Instagram.

"Kami mencapai kejayaan hebat di Liverpool musim ini sebagai sebuah pasukan dan saya bangga menjadi sebahagian daripada kelab dengan kumpulan pemain seperti ini. Menjadi juara Eropah adalah mimpi yang menjadi kenyataan!

"Kami semua kini dahagakan kejayaan yang lebih besar dan akan terus memberikan segala yang kami mampu untuk mencapai hasrat itu.

"Saya juga teruja dengan masa depan pasukan kebangsaan dan kami akan berusaha melakar kejayaan musim depan dengan usaha yang telah kami bina ini.

"Terima kasih atas semua sokongan anda sejak beberapa bulan lalu dan jumpa lagi selepas saya berehat untuk kami kembali berjuang."

Liverpool akan membuka kempen EPL musim depan menentang Norwich City pada 9 Ogos.

Kelab itu juga mengesahkan The Reds akan bermain dalam Trofi EFL musim depan.