LIVERPOOL 5 HULL CITY 1

Liverpool membuktikan kredibiliti mereka sebagai pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas membenam Hull City yang bermain dengan 10 pemain, 5-1 di Anfield, semalam.

The Reds kini telah memungut 13 mata daripada enam perlawanan hasil empat kemenangan, satu seri dan satu kalah.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu tidak perlu menunggu lama untuk mendahului apabila Adam Lallana menyempurnakan hantaran Phillipe Coutinho untuk gol pembukaan Liverpool pada minit ketujuh.

Hull City terpaksa beraksi tanpa seorang pemain apabila El Mohammady menampan bola dengan tangan secara sengaja dalam kotak penalti.

James Milner mengambil tanggungjawab menyudahkan sepakan penalti yang diberikan untuk gol kedua Liverpool pada minit ke-30.

Sadio Mane muncul sebagai penjaring gol ketiga Liverpool pada minit ke-36.

Bersambung dalam babak kedua perlawanan, Hull City akhirnya berjaya menembusi barisan pertahanan Liverpool, dengan David Meyler mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-51.

Namun, Liverpool terus bangkit pada minit seterusnya apabila hantaran Lallana menemui Coutinho untuk meledak gol keempat The Reds.

Skuad kendalian Jurgen Klopp selepas itu dihadiakan sepakan penalti kedua dan Milner sekali lagi tampil ke hadapan untuk memastikan kemenangan selesa 5-1 buat Liverpool.