Tewas kepada Fenerbahce, Mourinho bidas tahap tumpuan United

By Peter Hanson 3 November 2016 153
 Tewas kepada Fenerbahce, Mourinho bidas tahap tumpuan United
FENERBAHCE 2 MANCHESTER UNITED 1

Jose Mourinho membidas barisan pemain Manchester United kerana tidak memberi tumpuan dan fokus selepas mereka dibolosi awal dalam kekalahan 2-1 kepada Fenerbahce dalam saingan Liga Europa di Istanbul, awal pagi tadi. 


United jauh berbeza berbanding sebuah pasukan yang pernah mengalahkan kelab Turki itu 4-1 dalam aksi terdahulu, dan Red Devils ketinggalan seawal minit kedua hasil gol sepakan gunting Moussa Sow, sebelum sepakan percuma Jeremain Lens menambah derita pelawat. 

Percubaan United untuk bangkit tidak berhasil biarpun Wayne Rooney mencetak namanya selaku penjaring menerusi percubaan jarak jauh, namun Mourinho mengakui Fenerbahce lebih berhak menang dalam aksi Kumpulan A itu. 

"Mereka berhak menang. Bola sepak bukan sekadar kualiti, ia juga berkaitan usaha, komitmen. Ia berkaitan memberikan yang terbaik, memberikan segala-galanya," jelas beliau kepada BT Sport. 

"Jadi, mereka memang berhak. Sebuah pasukan yang dibolosi selepas dua minit permainan dilangsungkan adalah sebuah pasukan yang tidak bersedia dari segi mental, tumpuan dan fokus. 

"Dalam suasana seperti ini andai dibolosi, ia akan memberi kelebihan kepada pihak lawan, itulah yang cuba mereka mainkan.

"Mereka bertahan, melancarkan serangan balas, menghentikan permainan, cuba mendapatkan sepakan percuma dan memberi tekanan terhadap keputusan pengadil.  

"Itulah permainan mereka dan salah kami kerana membenarkan situasi itu. Selepas gol kedua mereka, kami bertindak balas dan mungkin boleh meraih keputusan yang berbeza.

"Tapi saya berasakan kami tidak berhak kerana bola sepak adalah permainan 90 minit dengan keinginan, kapasiti dan tumpuan yang maksimum.

"Jadi, mereka berhak untuk menang."

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Feyenoord yang meraih keputusan seri 1-1 dengan Zorya menolak United di tangga ketiga dengan kelebihan satu mata. 

Mourinho percaya barisan pemainnya tidak turun dengan sikap sebenar, namun beliau menegaskan mereka masih mampu layak untuk ke peringkat kalah mati dengan baki dua perlawanan lagi.

"Ia seperti mereka beraksi dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara dan kami pula beraksi untuk perlawanan persahabatan. 

"Kelayakan ke pusingan kalah mati akan ditentukan kami sendiri. Jika kami menang dua perlawanan berikutnya, kami akan layak."
 

About Author

Peter Hanson

Comment