Pengendali Chelsea, Antonio Conte, mengakui kekalahan 3-0 kepada Arsenal, September lalu, hadir dengan hikmah tersendiri buat juara Liga Perdana Inggeris itu.

Gol Alexis Sanchez, Theo Walcott dan Mesut Ozil dalam babak pertama mengesahkan kekalahan kedua berturut-turut, sekaligus meletakkan mereka ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Chelsea.

Bagaimanapun, kekalahan itu menghadirkan perubahan kepada nasib The Blues.

Conte kemudiannya mengguna pakai formasi 3-4-3 dan hasilnya, Chelsea melakar 13 kemenangan liga, sekaligus membantu meraih kejuaraan.

"Saya ingat perlawanan itu kerana kami bermain dengan teruk," Conte bercakap dalam sidang media.

"Kemudian kami menukar formasi dan saya terus memahami pasukan ini dengan lebih baik. Selepas tewas kepada Arsenal, kami melakukan perubahan ketara dan hasilnya berjaya menjuarai liga."

Ketika Conte menikmati kejayaan di atas keberkesanan formasi baru yang diterapkan, Frank de Boer dipecat daripada tugasnya selaku pengendali Cyrstal Palace.

"Amat menyedihkan apabila mengetahui rakan sejawatan dipecat," kata Conte.

"Saya amat rapat dengan Frank. Setiap jurulatih memerlukan masa untuk mengenali kekuatan dan kelemahan pasukan. Kadang-kala kami diberikan masa, namun kadang-kala tidak.

"Inilah tugas kami. Kami perlu bersedia menghadapi senario ini dan untuk itu, kami perlu bersabar.

"Tugas kami amat sukar. Setiap hari, kami perlu mencari jalan terbaik untuk mendapatkan keputusan memberangsangkan."