Pengendali Chelsea, Antonio Conte, mengesahkan John Terry telah kembali cergas sepenuhnya daripada kecederaan buku lali dan bakal turun bertemu Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Bekas pertahanan England, Terry, diketepikan sejak mengalami kecederaan dalam perlawanan bertemu Swansea City yang berkesudahan seri 2-2.

"Terry sudah kembali ke tahap yang terbaik, dia telah menjalani latihan bersama pasukan," kata Conte.

"Dia merupakan kapten pasukan dan pemain yang berpengaruh di dalam pasukan."

Conte akan membuat keputusan pada saat akhir buat Willian untuk beraksi bertemu skuad bimbingan Jose Mourinho di Stamford Bridge selepas pemain sayap itu kembali dari Brazil pada Khamis, berikutan kematian ibunya.

"Willian sudah kembali pada Khamis dan telah menjalani dua sesi latihan bersama kami.

"Saya akan membuat keputusan sebelum perlawanan sama ada akan menyenaraikan Willian dalam kesebelasan utama, kerana kami mahu memberikan sokongan sepenuhnya dan mahu memastikan Willian sudah kembali bersedia untuk bermain."