Aston Villa mengesahkan kedatangan bekas ketua pasukan Chelsea, John Terry.

Hanya enam penampilan ketika dipinjamkan ke Nottingham Forest pada musim 2000, Terry menghabiskan keseluruhannya kariernya di Stamford Bridge dengan membuat 717 penampilan dan menjuarai lima gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), lima trofi Piala FA dan Liga Juara-Juara pada 2012.

Selepas kerap diketepikan oleh Antonio Conte musim lalu, dia berpindah sebaik kontraknya tamat, bulan lalu.

Meskipun mendapat tawaran dari serata dunia, pemain pertahanan berusia 36 tahun itu memilih untuk beraksi dalam Liga Kejuaraan selepas berbincang dengan pengurus kelab itu, Steve Bruce, di Portugal bulan lalu.

Sehubungan itu, dia bertekad membantu Villa kembali ke saingan EPL.

Villa menawarkan pakej kontrak 12 bulan yang menyaksikan Terry akan meraih pendapatan GBP4 juta (RM22.2 juta) setahun, termasuk pelbagai bonus.

"Saya gembira dapat menyertai Aston Villa," kata Terry yang pernah memperkuatkan skuad England sebanyak 78 kali.

"Ia sebuah kelab yang saya kagumi sejak sekian lama. Kemudahan di Bodymoor Heath, Villa Park merupakan antara stadium hebat di negara ini. Terdapat ramai pemain yang bagus-bagus di sini dengan sentuhan pengalaman dan pengurus berjaya, Steve Bruce.

"Saya sudah tidak sabar untuk memulakan aksi dan membantu kelab mencapai sesuatu yang istimewa pada musim ini."