Pertahanan Chelsea, Gary Cahill, melabelkan bentesan keras Sergio Aguero terhadap David Luiz sebelum penyerang Manchester City itu dibuang padang sebagai satu tindakan gila.

Aguero dilayangkan kad merah susulan menerjah ke arah David Luiz di mana insiden itu turut mencetuskan pergaduhan lalu menyebabkan Fernandinho turut sama dibuang padang.

Cahill terkejut dengan kekasaran yang dilakukan Aguero, namun berpendapat ia bukanlah tindakan biasa dibuat penyerang Argentina itu.

"Mungkin dia terlalu kecewa dengan apa yang berlaku," Cahill memberitahu The Mirror.

"Itu bukan Aguero yang saya kenal. Itu bukan perwatakannya. Cuma saya berasa kecewa perkara itu berlaku."

Kemenangan 3-1 ke atas City meletakkan Chelsea selesa selaku pendahulu liga dengan kelebihan empat mata manakala Diego Costa kini berkongsi takhta bersama Alexis Sanchez (Arsenal) selaku penjaring terbanyak dengan 11 gol.

Cahill turut teruja dengan prestasi semasa penyerang Sepanyol itu, yang telah menjadi inspirasi sepanjang perlawanan.

"Saya melihat dia kini lebih tenang," ujar Cahill.

"Saya tahu semua pihak berpendapat dia seorang yang panas baran tetapi saya dapat melihat ketenangan dalam dirinya ketika ini.

"Dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini, dia mungkin mudah berasa marah atau kecewa tetapi kini dia sudah mampu mengawal kemarahan itu, lantas bermain dengan lebih baik.

"Kami harap dia meneruskan momentum sedia ada."