Persatuan Bola Sepak (FA) England mengesahkan penyerang Manchester City, Sergio Aguero, dikenakan hukuman penggantungan empat perlawanan gara-gara kad merah yang diterimanya dalam pertembungan dengan Chelsea, Sabtu lalu.

Pemain antarabangsa Argentina itu dibuang padang kerana terjahan ke atas David Luiz dalam masa kecederaan ketika Manchester City tumbang 3-1 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Stadium Etihad.

Pihak FA mengemaskini ruangan disiplin dalam laman rasmi mereka dengan mengesahkan Aguero bakal terlepas pertemuan dengan juara bertahan, Leicester City, Watford, Arsenal dan Hull City.

Ini merupakan kali kedua Aguero dihukum di atas kekasarannya musim ini yang boleh melibatkan denda yang lebih berat susulan tindakannya menyiku pemain West Ham, Winston Reid, pada Ogos lalu.

Rakan sepasukannya, Fernandinho, digantung tiga perlawanan selepas dibuang padang di atas tindakannya menolak Cesc Fabregas ke papan iklan berhubung kekasaran yang dilakukan Aguero itu.

Dalam masa yang sama, kedua-dua pasukan diberi tempoh sehingga 8 Disember ini untuk menjawab aksi tegang tersebut atau berdepan denda FA kerana gagal mengawal tingkah laku pemain mereka.