Bastian Schweinsteiger mengucapkan terima kasih kepada Wayne Rooney di atas persahabatan yang terjalin sepanjang di Manchester United.

Schweinsteiger meninggalkan United kelmarin apabila mengesahkan akan berpindah ke Liga Bola Sepak Utama (MLS) dengan menyertai Chicago Fire menerusi perjanjian selama setahun.

Bekas ketua pasukan Jerman berusia 32 tahun itu bergelut dengan prestasi dan kecergasan pada musim lalu, sebelum terpinggir daripada perancangan pasukan utama kendalian Jose Mourinho bagi kebanyakan musim ini sekalipun dia kekal sebagai tonggak popular di Old Trafford.

Perasaan itu seolah-olah sebati dengannya dan dia menyiarkan satu penghormatan yang memaparkan gambar Rooney -- satu lagi bintang berpengalaman yang masa depannya dengan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak 20 kali itu turut menjadi subjek spekulasi.

"Saya bersahabat baik dengan beberapa pemain di Manchester," ujar Schweinsteiger dalam laman sosialnya, Twitter.

"Semoga yang terbaik untuk anda dan pasukan, kapten saya!"

Schweinsteiger telah dipaksa berlatih sama ada secara bersendirian atau dengan pasukan bawah 23 tahun sebelum diserap semula ke dalam pelan Mourinho pada akhir November lalu dengan hanya membuat empat penampilan dalam semua kejohanan musim ini.

Selepas menghabiskan lebih banyak masa bekerja di belakang tabir daripada di atas padang sejak kebelakangan ini, bekas pemain tengah Bayern Munich itu juga meluangkan masa untuk memberi ucapan kepada jurulatih kecergasan United, Paolo Gaudino.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh kakitangan di atas apa yang telah anda lakukan untuk saya," katanya dalam laman sosial.

"Terutamanya kepada rakan saya dan PT Paolo kerana sentiasa berdiri di sisi saya! Mille grazie!"